Saturday 27 October 2012


KATA SERU

Kata seru ialah kata yang digunakan untuk menggambarkan perasaan seseorang seperti marah, sedih, gembira, sakit, hairan, kagum, terkejut dan sebagainya.

Contohnya:


                     aduh,   aduhai,   ah,   amboi,   cis/cih,   eh,   hai,   nah,   wah,   wahai
   

Dalam bahasa Melayu, kata seru digunakan untuk membentuk ayat seru.

Perhatikan penerangan di bawah ini.


Kata Seru
Penerangan
 
Ayat Contoh
Aduh
Digunakan untuk
a) Menyatakan perasaan sakit
b) Menyatakan perasaan 
    kagum/hairan
1   Aduh, hebat sekali cara dia   meniup serulingnya!
2   Aduh, bingitnya telinga aku mendengar bunyi muzik itu!
Aduhai
Digunakan untuk menyatakan
perasaan sedih/dukacita
 
1   Aduhai, malang sekali nasib Si miskin itu!
2   Aduhai, alangkah belasnya aku melihat dia!
Ah
Digunakan untuk menyatakan
perasaan penolakan/tidak bersetuju/
membantah
1   Ah, aku enggan berbincang dengannya!
2   Ah, engkau pun sama dengan dia!
 
Amboi
Digunakan untuk menyatakan
perasaan kagum/hairan
 
1   Amboi, enaknya rasa buah mangga ini!
2   Amboi, kacaknya pemuda itu!
Cis/cih
Digunakan untuk
a) Menyatakan perasaan marah
b) Menyatakan perasaan mengejek/  menyindir
1   Cis, memang dasar perempuan pisau cukur!
2   Cih, hidung tak mancung, pipi tersorong- sorong!
Eh
Digunakan untuk menyatakan
perasaan hairan/terkejut
 
1   Eh, Leman pun berbaju kemeja T!
2   Eh, kamu pun ada di sini Manaf!
 
Hai
Digunakan untuk
a) Menyatakan perasaan hendak menegur atau menyapa seseorang
b) Cuba menarik perhatian
 
1   Hai, cuba kamu perhatikan wanita di hujung sana tu!
2   Hai, saya pekerja baru di sini!” kata Talib memperkenalkan dirinya kepada Manan.
Nah
Digunakan untuk menarik perhatian dan pelbagai maksud lain
1   Nah, inilah masa yang paling sesuai untuk ziarah-menziarahi!
2   Nah, terimalah bayaran wang yang kupinjam tadi!
Wah
Digunakan untuk menyatakan
perasaan kagum/takjub
1   Wah, bergaya sungguh kauhari ini, Dollah!
2   Wah, lazat sungguh hidangan itu tadi!
Wahai
Digunakan untuk
a) Menyatakan perasaan dukacita
b) Mendapatkan perhatian
 
1   Wahai rakan-rakanku, janganlah membuang masamu dengan sia-sia!
2   Wahai anak-anakku, janganlah sesekali kamu lupa akan tanggungjawabmu!
 

 

·    Semua ayat seru, tanda serunya mestilah diletakkan di hujung ayat dan bukannya selepas kata  seru. Semua ayat seru ditandai dengan tanda seru ( ! )

·    Dalam binaan ayat atau penulisan, elakkan daripada melakukan kesalahan penggunaan kata seru seperti yang berikut:
       1.   Kesalahan menggunakan kata seru yang salah atau yang tidak menggambarkan perasaan yang dinyatakan.
             Contoh:
                1. a)        Aduhai, cantiknya pemandangan di sini! (X)
                    b)        Wah, cantiknya pemandangan di sini! (√)
                2. a)        Cis, malang sekali nasib Si buta itu! (X)
                    b)        Aduhai, malang sekali nasib Si buta itu! (√)
 
        2.   Kesalahan meletakkan tanda seru selepas kata seru dalam ayat.
              Contoh:
                1. a)        Aduh! sakitnya telingaku ini. (X)
                    b)        Aduh, sakitnya telingaku ini! (√)
 
                2. a)        Eh! cikgu kita pun ada di sini. (X)
                    b)        Eh, cikgu kita pun ada di sini! (√)


3 comments: